Timbalan Pengarah JBPM Johor Pauzan Ahmad (kanan) menerima pingat daripada Datuk Datuk Mohammad Hamdan Wahid di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menghantar surat permohonan bagi kenaikan pangkat Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll, Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, kenaikan pangkat itu dilihat mampu meringankan beban keluarga allahyarham yang mempunyai empat orang anak.

Selain  itu, ia juga bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan Allahyarham yang lemas dibawa arus deras di Kampung Sungai Putat, Melaka pada 20 Oktober lalu.

“Surat permohonan bagi kenaikan pangkat telah dihantar kepada kementerian. JBPM berharap kerajaan dapat pertimbangkan dan meluluskan kenaikan pangkat ini.

“JBPM juga akan salurkan bantuan yang sepatutnya layak kepada keluarga dan empat orang anak Allahyarham,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis Penganugerahan Pingat Kebenaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 di sini hari ini.

Menurut Mohammad Hamdan, nama Allahyarham Mohd Diya juga telah diabadikan di Tugu Peringatan Fallen Heroes pada Selasa lalu.

Pihak keluarga mangsa  juga telah dimaklumkan jenis bantuan yang akan diterima mereka.

Pada 20 Oktober lalu, Mohd. Diya Che Jusoh, 46, yang merupakan Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.11 pagi selepas 10 jam bertarung nyawa ketika membantu mangsa banjir di Kampung Sungai Putat di Melaka.- MalaysiaGazette