Ronald Kiandee telah menyerahkan replika cek ‘Dana Agromakanan Keluarga Malaysia’ kepada Datuk Mustapha Buang, Pengerusi Agrobank.

KUALA LUMPUR – Agrobank menerusi kerjasama strategiknya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah memperuntukkan RM110 juta bagi kempen pembiayaannya yang dinamakan ‘Dana Agromakanan Keluarga Malaysia’ bersesuaian dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

Sepanjang tempoh kempen, Agrobank akan menawarkan pengecualian fi jaminan untuk kedua-dua dana Agromakanan (PENJANA) dan Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA).

Kempen ini adalah sah sehingga keseluruhan dana berjumlah RM110 juta tersebut digunakan sepenuhnya atau sehingga 31 Disember 2021.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, Dana Agromakanan Keluarga Malaysia akan disalurkan melalui dua program pembiayaan Agrobank iaitu Agromakanan (PENJANA), sebuah program pembiayaan usahawan khusus untuk perusahaan mikro dan kumpulan B40 dengan peruntukkan dana sebanyak RM50 juta.

Ia juga menawarkan pembiayaan maksimum sehingga RM50,000 dan kadar keuntungan serendah 3.5% setahun.

Katanya, DPA pula menawarkan pembiayaan khusus untuk usahawan tani dalam industri makanan bagi meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan import dengan peruntukan dana sebanyak RM60 juta.

Menurutnya, DPA menawarkan pembiayaan sehingga RM10 juta dengan kadar keuntungan serendah 3.5% setahun bagi pembiayaan RM10,000 – RM5 juta dan 4.75% setahun bagi pembiayaan RM5 juta – RM10 juta. – MalaysiaGazette