Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha

AMPANG – Seorang penuntut institusi pengajian tinggi dan rakannya melalui detik menakutkan akibat menjadi mangsa samun berkumpulan suspek yang menyamar sebagai polis.

Bukan saja disamun, malah suspek ‘polis’ itu turut memaki hamun serta mengertak penuntut tersebut kononnya mangsa mempunyai rekod dikehendaki dan perlu dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, kejadian berlaku di rumah mangsa di Jalan Pandan Indah, Ampang Jaya.

Katanya, dalam kejadian pada Selasa kira-kira jam 2.30 petang itu, pelajar perempuan berusia 23 tahun itu bersama teman lelakinya berusia 27 tahun sedang berehat di dalam bilik, di sebuah rumah.

“Mereka tiba-tiba telah didatangi oleh dua lelaki yang tidak dikenali berpakaian premanĀ  memperkenalkan diri sebagai pegawai polis tanpa apa-apa kad kuasa mahupun dokumen pengenalan diri.

“Pengadu berasa takut apabila suspek memarahi dan menengking pengadu. Suspek juga menyatakan pengadu mempunyai rekod dikhendaki dan perlu dibawa ke balai.

“Suspek mengambil dompet berisi dokumen pengenalan diri serta telefon bimbit pengadu dan rakan pengadu sebelum keluar dari rumah sambilĀ  menyatakan mahu memanggil polis peronda dan terus lari menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa mengalami kerugian RM3,020.

Katanya, bertindak atas aduan mangsa semalam iaitu pada 27 Oktober lalu jam 5 petang, sepasukan pegawai dan anggota polis IPD Ampang Jaya telah menangkap seorang lelaki warganegara tempatan berumur 54 tahun.

“Hasil pemeriksaan pada badan suspek berjaya merampas dua telefon bimbit berjenama dipercayai milik rakan mangsa samun itu.

“Suspek yang ditangkap mempunyai empat rekod jenayah lampau iaitu kesalahan kes pemerasan dan mendatangkan kecederaan manakala satu rekod narkotik berkaitan dadah manakala hasil saringan air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Mereka telah dihadapkan ke mahkamah untuk proses permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan telah dibenarkan tahan reman selama empat hari mulai hari ini sehingga 31 Oktober ini untuk membantu melengkapkan siasatan polis,” tegasnya.

Polis juga sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan dan menangkap rakan suspek yang masih bebas yang telahpun dikenalpasti.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan.

“Manakala untuk kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952 iaitu memasukkan dadah dalam badan yang boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika disabitkan kesalahannya.

“Pihak polis menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap orang yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

“Seseorang yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis perlu menunjukan kad kuasa dan menjelaskan tujuan pemeriksaan dijalankan.

“Sekiranya orang awam berasa curiga, boleh menghubungi balai polis yang terdekat untuk mengesahkan segera dan bantuan susulan mengelak sebarang insiden jenayah,” tegasnya. – MalaysiaGazette