Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengatakan sesuatu dengan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pembentangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 29 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan meneruskan inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) dengan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak bermula Januari 2022.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, ia merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Sementara itu, menurutnya, Bajet 2022 turut menyasarkan 220,000 pelatih menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan RM1.1 bilion.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah program place and train iaitu latihan dengan jaminan pekerjaan.

“Program peningkatan kemahiran dengan kerjasama industri turut dipergiat dengan keutamaan kepada kemahiran digital seperti contoh program Global Online Workforce (GLOW) di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini. – MalaysiaGazette