Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,060 kes positif baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 2,460,809 kes.

Bagaimanapun jumlah kes sembuh mengatasi kes positif dengan 7,297 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 6,060 kes positif itu, sebanyak 105 kes atau 1.7 peratus merupakan kategori 3,4 dan 5 manakala baki 5,955 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Katanya, sebanyak 13 kes adalah kes import yang melibatkan sembilan warganegara dan empat warga asing.

“Manakala sebanyak 6,047 kes adalah tempatan yang terdiiri daripada 5,759 warga tempatan dan 288 lagi warga asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 570 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 300 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Menyentuh kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Rnaught, Dr. Noor Hisham berkata, nilai Rnaught masih kekal di bawah paras 1.00 iaitu 0.94.

Namun katanya, Negeri Sembilan mendahului negeri lain dengan merekodkan nilai bacaan kadar Rt 1.04 hari diikuti Kuala Lumpur (0.99).

Melaka dan Putrajaya masing-masing merekodkan nilai Rt 0.98 diikuti Selangor (0.95), Sabah dan Kedah (0.93), Pahang (0.90), Labuan (sifar). – MalaysiaGazette