FGV merancang menambah bilangan lori sejuk beku kepada 17 menjelang 2023 melibatkan pelaburan sebanyak RM4 juta.

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) memperkenalkan perkhidmatan pengangkutan rantaian sejuk menerusi cabang logistiknya, FGV Transport Services Sdn Bhd (FGV Transport) bagi menyediakan penghantaran dan penyelesaian penyimpanan sejuk yang cekap untuk produk sensitif suhu dan barangan mudah rosak.

Dengan nilai pelaburan permulaan sebanyak RM8.3 juta, perniagaan ini mensasar untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat dalam pengurusan logistik secara berkesan, yang memastikan kawalan suhu betul bagi produk-produk tenusu, farmaseutikal, daging, buah-buahan, sayur-sayuran, makanan laut, makanan sejuk beku serta lain-lain produk untuk sektor domestik dan e-Dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, segmen perniagaan rantaian sejuk adalah inisiatif terkini FGV dalam menambah aliran pendapatan baharu di bawah Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan Kumpulan.

”Sehingga Oktober 2021, FGV telah memperoleh 10 lori sejuk beku berkapasiti 7.5 tan. Kumpulan merancang untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada 17 lori pelbagai saiz dan muatan menjelang 2023 dengan anggaran pelaburan sebanyak RM4 juta,” kata Mohd Nazrul, dengan tumpuan diberikan kepada industri pengeluaran makanan halal yang terus berkembang dari tahun ke tahun.

Mohd Nazrul berkata, FGV Transport memanfaatkan peluang pasaran e-Dagang yang semakin meningkat dalam segmen ini dan menawarkan penyelesaian logistik sejuk untuk pemain industri, pengguna, pengilang dan petani di Malaysia.

Anak syarikat FGV itu turut mensasar pendapatan RM3.2 juta bagi perkhidmatan rantaian sejuk pada tahun 2024.

”Di FGV, kualiti yang menjadikan kami sebagai peneraju industri adalah keupayaan dalam penyediaan logistik menggunakan automasi canggih dan kemampuan digital. Ini termasuk perkhidmatan Logistik Pihak Ketiga (3PL), hab dan model jaringan logistik, kurier dan destinasi akhir, serta lori pelbagai fungsi seperti lori tangki, lori kargo, van bertutup, lori tirai tepi serta lori sejuk beku pelbagai saiz.

”Semua kenderaan rantaian sejuk FGV dilengkapi dengan navigasi Sistem Pengesanan Global (GPS) dan Sistem Pengedaran Logistik Bersepadu (ILDS) yang dibangunkan oleh FGV Prodata Systems Sdn Bhd (FGV Prodata), sebuah lagi anak syarikat milik FGV.

”Dengan pelaksanaan ILDS, semua pergerakan kenderaan dijejak pada masa sebenar bagi memudahkan pengesanan, serta memastikan produk pelanggan diterima dengan selamat mengikut masa yang sewajarnya,” tambahnya.

Platfom Sistem Pengurusan Gudang (WMS) juga disediakan bagi membolehkan syarikat memantau dan mengoptimumkan proses logistik.

Di samping itu, aplikasi pegang-pintar seperti Pengimbasan Kod Bar, Pengurusan Pesanan dan Pengurusan Inventori juga digunakan untuk penyelenggaraan jangkaan serta pemantauan suhu makanan segar.

Sebagai permulaan, FGV Transport menawarkan pengangkutan produk halal dan perkhidmatan lori sejuk beku di sekitar Lembah Kelang.

Perkhidmatan ini bakal diperluaskan ke negeri-negeri lain seperti Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang dengan sasaran 60 peratus perniagaan luar dalam tempoh enam bulan beroperasi. – MalaysiaGazette