Wakil MTR, Mejar (B) Zamri Abd Rahman dan Presiden MTR, Ali Tinju menyampaikan memorandum kepada wakil ahli Parlimen pembangkang, Datuk Abdullah Sani di pintu masuk Parlimen semalam.

KUALA LUMPUR – Sampai bila kerajaan abai kebajikan bekas tentera dan polis?

Itu persoalan salah seorang bekas tentera, Mejar (B) Zamri Abd Rahman.

Menurutnya, jasa dan pengorbanan mereka mempertahankan negara terutama ketika ancaman komunis hanya tercatat dalam sejarah tetapi bukan dalam bentuk penghargaan.

“Kami dulu keluar masuk hutan berperang dengan komunis sampai negara kita aman tetapi bila pencen kebajikan kami tidak terjaga sampai ada merempat meminta simpati,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Justeru, beliau semalam bersama NGO Media Tentera Rakyat (MTR) telah menghantar memorandum kepada Parlimen.

Dalam memorandum kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan itu MTR mahu Parlimen menjadi perantara menganjurkan sesi dialog antara veteran tentera dan polis bersama ahli-ahli Parlimen.

Memorandum itu disampaikan oleh Presiden MTR, Datuk Mohd Ali Baharom kepada Setiausaha Sulit Yang diPertua Dewan Rakyat, Irwan Mohamad dan kepada wakil ahli Parlimen Pembangkang, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang juga Ahli Parlimen Kapar.

Wakil MTR menyampaikan memorandum kepada Setiausaha Sulit Yang diPertua Dewan Rakyat, Irwan Mohamad di pintu masuk Parlimen semalam.

Sementara itu, seorang lagi, bekas Pegawai Waran 1 Rejimen Renjer Diraja, Samsudin Tamsir juga kesal dengan sikap kerajaan didakwa memandang sebelah mata terhadap kebajikan bekas pejuang negara.

Beliau mahu kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka yang pernah mempertahankan negara secara menyeluruh dan berterusan bukan sekadar bakul makanan setiap kali musim pilihan raya sahaja.

Sementara itu, Mohd Ali atau dikenali Ali Tinju pula berkata,
selepas enam dekad negara merdeka dan bebas ancaman komunis tahap kehidupan veteran tentera dan polis masih berada di bawah kemiskinan.

“Isu ini tidak pernah diangkat di Parlimen. Kalau tidak kerana SOP saya boleh gempur dan bawa lebih 500 veteran tentera berarak ke Parlimen tetapi sekarang kita hormat SOP yang ditetapkan,” ujarnya.

Menurut Ali Tinju, dalam memorandum berkenaan, pihaknya menuntut kenaikan pencen kelompok veteran orang lama yang diterima sekarang dinaikkan dari dua peratus kepada 10 peratus.

Bagi veteran tidak berpencen pula bantuan diberi one off sekali dalam setahun.

Mereka juga mahu hukuman kepada peraturan 49 (l) Akta Tentera dan Tentera Udara dibatalkan demi kelansungan hidup veteran tentera.

“Kerajaan kena ingat bukan semua bekas tentera dan polis hidup senang selepas bersara kerana mengikut kajian kami kira-kira 40,000 mereka ada yang miskin dan tidak terbela,” katanya.

Ali Tinju juga menegaskan, jumlah veteran tentera dan polis beserta keluarga mereka merupakan kira-kira enam juta pengundi di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast