MARA In Fashon akan berlangsung pada 31 Oktober ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) kembali menganjurkan MARA In Fashion (MIF) dalam usaha menyokong industri fesyen negara dengan melahirkan ikon fesyen Bumiputera untuk ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Timbalan Ketua Pengarah MARA (Keusahawanan), Datuk Zulfikri Osman berkata, program MIF yang melibatkan latihan dan pengajaran daripada aspek keusahawanan, teknikal dan juga kursus peningkatan merangkumi empat segmen dalam industri akan berlangsung pada 31 Oktober ini.

Jelas beliau, bertemakan Ready To Wear (RTW), penganjuran MIF akan diadakan secara gabungan antara fizikal dan juga dalam talian.

“Kami menyasarkan seramai 1,000 jemputan dalam talian menggunakan aplikasi Zoom dan 60 orang jemputan secara fizikal.

“Bagi kumpulan sasaran, ia terdiri daripada pemain industri, pembeli industri, artis, belia, orang perseorangan, agensi dan jabatan.

“Setakat ini seramai 550 jemputan dalam talian telah bersetuju dan berdaftar untuk menyertai MIF,” katanya pada sidang media MIF RTW 2021/2022, di sini, semalam.

Majlis pelancaran MARA In Fashion RTW 2021/2022 berlangsung semalam.

Zulfikri menambah, pihaknya MiF kali ini memperkenalkan tema ‘identiti’ bagi mempromosi dan mengukuhkan penjenamaan rekaan  pereka terutamanya bagi  produk ‘ready to wear’.

Menurutnya, ia juga bertujuan membantu ekonomi dan jualan usahawan pereka Bumiputera ketika pademik Covid-19 ini dengan mencipta kelainan terhadap rekaan.

“MIF ingin membantu pereka mencari identiti tersendiri melalui training, coaching dan mentoring.

“Sebagai contoh, usahawan pereka Sricandy yang mempunyai identity sendiri melalui Stripes dan Black n White manakala usahawan pereka Zaimi Zulkafli mengeluarkan baju mesra vaksin yang bertemakan Covid-19,” katanya.

Zulfikri memberitahu, pemilihan usahawan fesyen yang menyertai MIF RTW 2021/2022 berdasarkan kriterian tertentu antaranya mereka yang berumur 18 tahun hingga 40 tahun, Bumiputera dan warganegara Malaysia.

Tambahnya, pada masa sama, pengalaman asas jahitan atau rekaan  fesyen diperlukan selain mempunyai minat dalam perniagaan industri fesyen di mana keutamaan diberikan kepada belia dan pelajar industri fesyen.

“Harapan MIF kepada industri fesyen agar dapat melahirkan usahawan fesyen yang berjaya yang mempunyai kemahiran, keyakinan, inovatif dan terkehadapan, unik yang berdaya saing.

“MARA juga berharap mereka dapat memantapkan jaringan pasaran dan brand positioning koleksi rekaan fesyen yang dapat menembusi pasaran domestik dan luar negara selain mewujudkan platform pemasaran secara talian atau fizikal (outlet MIF) dalam industri fesyen bagi mempromosi serta meningkatkan produktiviti hasil karya usahawan fesyen,” katanya.

Peminat fesyen tanahair boleh mendaftar di https://mifrtw2021online.bpuvirtual.com untuk menyaksikan pertunjukkan fesyen MIF RTW 2021/2022 secara atas talian. – MalaysiaGazette