Subsektor kesihatan mendapat peruntukan signifikan dalam Bajet 2022. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sektor sosial menerima perbelanjaan pembangunan kedua terbesar dengan RM22.7 bilion peruntukan.

Peruntukan itu meningkat sebanyak 30.7% berbanding RM17.3 bilion yang disediakan dalam Bajet 2021.

Menurut Tinjauan Fiskal 2022, subsektor pendidikan dan latihan kekal sebagai penerima peruntukan terbesar di bawah sektor ini berjumlah RM12 bilion terutama untuk TVET, geran penyelidikan dan pembinaan serta peluasan institusi pendidikan.

Subsektor kesihatan akan diperuntukan RM4.5 bilion untuk memastikan ketersediaan dan akses sistem kesihatan yang komprehensif.

Selain itu, peruntukan juga akan digunakan untuk pembelian kenderaan dan peralatan perkhidmatan perubatan.

Antaranya, pembinaan Hospital Kapar, Selangor dan menaik taraf kemudahan hemodialisis hospital Kementerian Kesihatan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta bilik autopsi Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail, Johor.

Kerajaan juga menyediakan RM1.8 bilion di bawah subsektor perumahan dengan sebahagian besarnya kepada pembinaan rumah PPR dan menaik taraf kuarters penjawat awam.

Projek lain di bawah subsektor ini termasuk Rumah Mesra Rakyat dan pembangunan komuniti sifar sisa dalam kalangan PPR terpilih serta di Sri Kemuning di Temerloh, Pahang dan Seri Sena, Kangar, Perlis.

Sektor keselamatan akan diperuntukan RM9 bilion untuk subsektor pertahanan (60.4%) dan keselamatan dalam negeri (39.6%).

Peruntukan ini melibatkan penambahbaikan sistem dan perkhidmatan rangkaian serta naik taraf aset ketenteraan dan peralatan keselamatan.

Selain itu, peruntukan akan disediakan untuk projek infrastruktur seperti kuarters anggota keselamatan, kemudahan kesihatan dan menaik taraf penjara.

Sektor pentadbiran am bagi memperkukuhkan sektor awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 mendapat agihan sebanyak RM3.8 bilion.

Beberapa projek utama termasuk meningkatkan pendigital dalam sektor awam seperti 1GOVNET, MYGOVUC.

Sistem Rekod Transkripsi Mahkamah atau e-Kehakiman serta memperluas perkhidmatan pusat data sektor awam.

Di samping itu, peruntukan turut disediakan untuk penyelenggaraan bangunan, aset dan kemudahan kerajaan seperti kuarters, mahkamah dan institusi latihan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast