Polis menyelamatkan tujuh wanita warga Thailand daripada dieksplotasi untuk tujuan perkhidmatan seks selepas menyerbu sebuah premis di Permas Jaya di sini malam kelmarin.

JOHOR BAHRU – Polis menyelamatkan tujuh wanita warga Thailand daripada dieksplotasi untuk tujuan perkhidmatan seks selepas menyerbu sebuah premis di Permas Jaya di sini malam kelmarin.

Ketujuh-tujuh tujuh wanita yang ditahan berusia antara 22 hingga 37 tahun dibawa masuk ke negara ini bagi dijadikan pelacur.

Dalam serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan itu,  seorang lelaki yang berperanan sebagai transporter juga ditahan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata,  lelaki berkenaan yang berusia 24 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sebuah beg tangan, dua telefon bimbit, 10 kondom, tiga anak kunci, satu kad akses dan wang tunai berjumlah RM630,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek lelaki kini ditahan reman manakala tujuh wanita yang diselamatkan kini ditempatkan di rumah perlindungan sementara.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Raub meminta bantuan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di sekitar kawasan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast