Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Skim Pembiayaan Informal dan Mikro di bawah Tekun akan menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah sifar peratus berserta moratorium selama 12 bulan dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal dan mikro.

Selain itu, BSN dan Agrobank juga akan menawarkan pinjaman mikro sehingga RM75,000 ringgit pada kadar sifar peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, kerajaan akan meneruskan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi memulihkan aktiviti koperasi yang terjejas.

Di samping itu, dana sebanyak RM30 juta akan disediakan untuk Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi.

Pasa masa sama, bagi menyokong aktiviti perniagaan oleh koperasi, program seperti penyediaan tapak perniagaan food truck di kawasan bandar utama akan
dilaksanakan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Kerajaan juga menyokong perluasan program I-TEKAD iaitu sebuah program kewangan sosial yang menawarkan modal permulaan, kredit mikro dan latihan kemahiran kepada usahawan mikro dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

Katanya, bagi membantu syarikat yang berdepan masalah gearing atau leveraj, kaedah pendanaan bernilai RM2.1 bilion melalui pelaburan ekuiti dan quasi-equity akan diperkenalkan.

Kaedah ini akan diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama Teraju dan BSN dengan dana bernilai RM600 juta dan terbuka kepada semua terutamanya usahawan Bumiputera.

Selain itu, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) juga akan menawarkan Skim RESET dan BNM juga menyediakan Business Recapitalisation Fund bernilai RM1 bilion untuk tujuan yang sama.

Secara keseluruhan, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk PKS.

Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutamanya Targeted Relief and Recovery Facility telah ditingkatkan sebanyak RM2 bilion dan menjadikan jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini sebanyak RM11.2 bilion.

Selain itu, institusi kewangan seperti SME Bank, PUNB, BPMB, AgroBank, MIDF dan MARA turut menyediakan dana untuk PKS.

Satu inisiatif khusus untuk membantu syarikat tersenarai di Bursa Malaysia juga akan diperkenalkan bagi membantu syarikat berdaya maju tetapi terkesan akibat pandemik Covid-19 mendapat suntikan dana tambahan melalui sebuah SPV milik kerajaan dalam bentuk instrumen ekuiti atau instrumen lain
yang berkaitan.

Untuk tujuan ini, Khazanah Nasional Berhad akan diberi mandat bagi membantu kerajaan menyediakan infrastruktur untuk mentadbir dana bersaiz sekurang-kurangnya RM3 bilion. – MalaysiaGazette