Hasil siasatan PKD, kejadian berpunca daripada ketidakpatuhan SOP warga institusi pendidikan ketika di sekolah dan di luar waktu persekolahan. -Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan institusi pendidikan bawahnya yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa dibenarkan beroperasi tanpa penggiliran mulai 8 November 2021.

Keputusan ini dibuat hasil perbincangan bersama-sama KKM dan Majlis Keselamatan Negara dengan mengambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan.

Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa hadir tanpa penggiliran bagi negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan bermula pada 8 November 2021.

Pengoperasian bagi negeri Kumpulan A juga bermula pada 8 November 2021 kerana 7 November 2021 adalah cuti tambahan sempena perayaan Deepavali yang diperuntukkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 bagi sekolah bawah KPM.

KPM menambah, pengoperasian institusi pendidikan bagi kelas peperiksaan awam dan antarabangsa melibatkan kehadiran murid kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Bagi institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa seperti di Lampiran 1 dan 2, pengoperasian kekal secara penggiliran.

Walau bagaimanapun, murid Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia, murid kelas peperiksaan awam di sekolah berasrama sepenuhnya dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE OLevel, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) kekal hadir tanpa penggiliran.

KPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa. KPM akan mengeluarkan senarai terkini institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus pada setiap hari Rabu.

Justeru, mana-mana institusi pendidikan yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan institusi boleh mula beroperasi tanpa penggiliran pada hari Ahad/Isnin minggu berikutnya.

KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

Tambahnya, KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memantau kadar vaksinasi dalam kalangan murid mengikut kohort umur bagi institusi pendidikan bawah KPM. – MalaysiaGazette