Juara sulung bagi Pertandingan Berbalas Pantun Terbuka Piala Pusingan Dekan-Dekan UTeM ini telah berjaya dirangkul oleh kumpulan Awang Daik yang merupakan staf dari Pusat Tanggungjawab Canselori, UTeM.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berusaha memperkukuhkan penguasaan bahasa Melayu menerusi Karnival Bulan Bahasa Kebangsaan (KBBK) 2021 yang diadakan secara dalam talian.

Dekan Pusat Pembelajaran Bahasa UTeM, Dr Mohd Fauzi Kamarudin berkata, menjadi tanggungjawab semua terutamanya warga pendidik untuk bersama memartabatkan bahasa kebangsaan.

Usaha memperkasa dan  memasyhurkan bahasa kebangsaan ini direalisasikan menerusi KBBK 2021 yang diadakan secara dalam talian pada 8 hingga 28 Oktober anjuran Pusat Pembelajaran Bahasa (PPB) dengan kerjasama Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC), UTeM.

Bagi Pengarah Program KBBK 2021 yang juga Guru Bahasa Kanan, PPB, UTeM, Noorsaiyidah Suradi berkata, program KBBK ini diisi dengan 11 program menarik, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noorsaiyidah Suradi

Antaranya slot bual bicara ‘Bahasa Melayu Merentasi Benua, Dirgahayu Bahasaku’ yang dijayakan tetamu jemputan dari Rusia, Amerika Syarikat dan Jepun.

Tetamu dari Rusia, USA dan Jepun berkongsi pendapat mempelajari Bahasa Melayu dalam program bual bicara sempena dengan KBBK 2021 yang dianjurkan oleh UTeM.

Selain itu, penganjuran pertandingan deklamasi sajak yang melibatkan para peserta yang terdiri daripada pelajar antarabangsa UTeM turut diadakan.

Pertandingan Berbalas Pantun Terbuka Piala Pusingan Dekan-Dekan UTeM pula berjaya dirangkul oleh kumpulan Awang Daik yang merupakan staf dari Pusat Tanggungjawab Canselori, UTeM.

KBBK 2021 juga turut berjaya mencungkil bakat dari kalangan staf dan juga pelajar.

Pengarah PPPC, Fazidah Ithnin berkata, penganjuran kali ini secara umumnya mencapai objektif yang diharapkan serta berjaya mengimbau kembali kegemilangan bahasa melayu seperti suatu ketika dahulu.- MalaysiaGazette