Reezal Merican (kanan) mendengar penerangan daripada pihak PRIMA.

SEBERANG PERAI – Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan menyediakan kemudahan internet di 40 Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM30 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 untuk pelaksanaan tersebut.

Reezal Merican.

“Kita akan sediakan infrastruktur buat penduduk PPR bagi mendapatkan akses internet sekali gus memastikan penduduk di kawasan perumahan berkenaan tidak ketinggalan.

“Ini merupakan sebahagian daripada agenda atau fokus saya dan KPKT iaitu Aspirasi Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci kepada pemilik kediaman Residensi Pauh Permai di Permatang Pauh hari ini.

Reezal Merican (tengah) pada majlis penyerahan kunci kepada pemilik kediaman Residensi Pauh Permai di Permatang Pauh di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib; Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Awar; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Arifin serta ADUN Seberang Perai Dr. Afif Bahardin.

Mengulas mengenai pembelian bagi golongan muda Reezal Merican berkata, sebanyak 70 peratus pembeli unit kediaman Residensi Pauh Permai itu terdiri daripada kalangan golongan muda yang berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun.

“Perkembangan positif itu menunjukkan projek perumahan yang dibangunkan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) kini berjaya menarik pembeli muda,” kata beliau.

Untuk rekod, sehingga kini PR1MA telah membangunkan sebanyak 61 buah projek di seluruh negara yang merangkumi kira-kira 49,000 unit kesemuanya. – MalaysiaGazette