Alwi Adam

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan memilih unit amanah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) sekiranya hendak membuat pelaburan yang tidak mengalami kerugian.

Ini dinyatakan oleh Penasihat Kewangan Berlesen Ezaz Wealth Sdn. Bhd, Alwi Adam yang membuat kajian sekurang-kurangnya 10 tahun dalam bidang pelaburan.

Menceritakan pengalamannya yang berminat melabur ketika di alam persekolahan, beliau menyatakan, persoalan pertama ditanyakan kepada dirinya ialah melabur di mana.

Katanya, dalam merungkai persoalan itu, beliau mendapat pilihan sama ada hendak melabur dalam ASB, Tabung Haji, unit amanah dan sebagainya.

“Saya terjebak dalam pencarian unit amanah ini kerana saya sendiri nak cari. Pertama, saya tanya nak melabur di mana unit yang bagus. Dalam dalam pencarian itu saya jumpa dua tiga yang bagus.

“Saya cuba (melabur) mana yang ada dulu (unit amanah) lebih kurang lima tahun. Kemudian selepas 10 tahun saya ambil lesen, sijil, belajar, mengajar dan mendidik macam mana hendak mengurus kewangan, unit mana boleh melabur dan hampir semua pelaburan yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam segmen Borak-Borak Je… bertajuk Pulangan Tinggi : Apa Yang Perlu dikaji dalam program Fiesta Labur PNB @ Home yang dihoskan pelakon dan pelawak, Bell Ngasri dan Ajak Shiro.

Menurut Alwi, sebelum membuat keputusan untuk melaburkan, mereka terlebih dahulusepatutnya mencari tukang rujuk yang betul-betul mahir dan tahu mengenai pelaburan.

“Malangnya, kebanyakan dari kita bertanyakan tukang rujuk yang salah. Mereka tanya sepupu mereka, kawan-kawan mereka. Sepatutnya rujuk kepada orang yang diiktiraf dalam pelaburan, baharulah mereka dapat maklumat yang betul mengenai syarikat dan pelaburan.

“Sepertimana saya, saya rujuk kepada buku, kemudian saya belajar dan buat kesimpulan, bahawa nak jadi kaya ialah kita kena ada aset, dan nak beli aset itu, kita kena ada duit.

“Macam mana orang seperti saya nak kena ada duit untuk beli aset, sedangkan saya dari keluarga miskin? Jawapannya, saya kena bekerja. Dari kerja itu saya dapat gaji dan beli aset,” katanya.

Menurut Alwi, dengan gaji yang dijadikan simpanan itu, beliau gunakan sebagai modal melabur untuk membeli aset.

Ditanya mengenai persepsi orang ramai bahawa sekarang kadar dividen ASB pada masa ini terlalu rendah berbanding 10 hingga 20 tahun lalu, beliau menjelaskan, tinggi rendah kadarnya dividen ASB bergantung kepada prestasi pasaran saham tempatan.

Ini kerana, ASB melabur sebahagian besar dananya dalam pasaran tempatan yang ketika ini sedang mencatat prestasi yang kurang memberangsangkan.

Dviden rendah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk orang ramai tidak melabur dalam ASB kerana ASB ini berisiko rendah memandangkan ia berharga tetap.

“Yang penting duit modal kita tidak hilang dan kita masih menerima dividen berbanding jika kita melabur di tempat lain yang tidak berlesen atau membiarkannya dalam menyimpannya dirumah kerana tanpa dividen, duit kita tidak berkembang walau berpuluh tahun menabung,” katanya.

Ditanya adakah adakah berbaloi atau rugi melabur dalam ASB, menurut Alwi, kelebihan ASB ialah ianya jenis amanah.

Katanya, ASB sebuah unit amanah yang istimewa iaitu harga tetap RM1, cukup setahun, nilai kita bertambah berbanding simpanan di tempat lain seperti bawah bantal.

“Nilainya tidak berubah, harganya tetap. Kalau ada risiko, modal kita hilang, ianya tidak selamat dan apa kita dapat? Modal semata-mata. Kalau simpan dalam ASB, cukup setahun modal kita bertambah.

“Dalam ASB duit tidak hilang, malah dapat juga dividen tiga peratus, lima peratus. Orang ramai biasanya tengok angka dividen.

“Kalau inginkan pulangan tinggi, kena berani ambil risiko dan menanggung kerugian. Jadi tidak salah untuk melabur dalam pasaran saham atau Forex tetapi kita kena mempunyai daya tahan yang tinggi kerana kadar volatilitinya yang tinggi, yang boleh menyebabkan kita rugi pada bila-bila masa.

“Kita mesti melabur untuk melindungi kuasa beli dan untuk itu seboleh-bolehnya kita melabur dalam produk pelaburan yang memberi pulangan melebihi inflasi untuk mengekalkan nilai duit yang kita miliki,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast