Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Harapan untuk melihat ekonomi luar bandar mendapat suntikan penggalak dengan kadar segera menerusi Bajet 2022 dalam usaha memulihkan ekonomi rakyat secara holistik ternyata mengecewakan.

Ini kerana, pemberian beberapa bentuk bantuan dalam belanjawan 2022 yang dibentang pada Jumaat lepas lebih tertumpu kepada keperluan masyarakat bandar.

Kekurangan inisiatif ekonomi luar bandar akan menyebabkan segmen itu lebih teruk terjejas, terutama dampak daripada wabak Covid-19 berbanding kawasan bandar, kata Pengerusi Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Parti Amanah Negara (PAN), Faiz Fadzil.

Beliau berkata, peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar hanya meningkat sebanyak RM359 juta kepada RM7. 016 bilion yang mana peruntukan ini tidak mencukupi bagi membangunkan kawasan luar bandar dalam merangsang ekonomi rakyat di kawasan itu.

“Kerajaan seharusnya memberikan peruntukan pembangunan yang lebih besar bagi mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan penduduk luar bandar.

“Menurut perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, gaji dan upah penengah di luar bandar telah jatuh sebanyak 14.1 peratus untuk tahun 2020, berbanding 11.6 peratus untuk pekerja di kawasan bandar.

“Selain itu, negeri-negeri yang mempunyai saiz kawasan luar bandar yang signifikan telah menyaksikan meningkatnya tahap kemiskinan.

“Kelantan, misalnya yang mana hampir separuh isi rumahnya tinggal di kawasan luar bandar, mencatatkan peningkatan kemiskinan mutlak yang ketara kepada 21.2 peratus pada tahun 2020 daripada 12.4 peratus (2019).

“Begitu juga Terengganu yang turut menyaksikan peningkatan kemiskinan mutlak kepada 12 peratus berbanding 6.1 peratus (2019).

“Justeru, Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (Parti Amanah Negara) menggesa agar peruntukan ini disemak semula dalam usaha mencapai kemakmuran bersama yang lebih adil dengan merapatkan jurang kemiskinan segmen bandar dan luar bandar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Faiz berkata, peruntukan terhadap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan kerana merencat usaha ke arah meningkatkan keselamatan makanan.

Ujarnya, subsidi untuk sektor pertanian dan perikanan kekal tidak berubah sebanyak RM1.7 bilion selain, kerajaan gagal memberikan perhatian serius dalam meningkatkan penggunaan teknologi terhadap bidang pertanian di mana hanya setakat RM120 juta diperuntukkan untuk usahawan berteraskan teknologi dan jumlah ini tidak cukup untuk mengukuhkan jaminan bekalan makanan.

Tambahnya, negara tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada bekalan makanan import yang kini melangkau lebih RM50 bilion setahun dan kerajaan harus memastikan lebih banyak pembekal atau vendor untuk industri-industri penting diwujudkan di kawasan luar bandar.

“Ini bagi mengukuhkan rantaian bekalan ekosistem perniagaan dan industri Malaysia terutama sektor pertanian. Pelaburan awam serta swasta di kawasan luar bandar harus dipertingkatkan.

“Kesenjangan pembangunan dan sosio-ekonomi luar bandar dan bandar di Malaysia perlu dikurangkan. Ekonomi luar bandar tidak boleh terus dianak-tirikan dalam arus pembangunan negara dan fiskal kerajaan, jika tidak jurang miskin kaya rakyat Malaysia akan semakin melebar,” katanya. – MalaysiaGazette