Petugas kesihatan melakukan pemeriksaan kepada pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu COVID-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,127 kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini sekali gus terus mengatasi angka kes harian baharu yang direkodkan sebanyak 4,979 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan tersebut menjadikan kumulatif kes pulih daripada Covid-19 sebayak 2,374,761 kes.

Menurut beliau, daripada 4,979 kes baharu yang dilaporkan sejumlah 562 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 326 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, katanya, sebanyak 85 kes baharu atau 1.7 peratus yang dicatatkan merupakan kategori tiga, empat dan lima manakala 4,894 kes atau 98.3 peratus adalah kategori satu dan dua.

“Sebanyak 23 kes import direkodkan hari ini dengan 16 daripadanya merupakan warganegara manakala tujuh bukan warganegara.

“Manakala kes tempatan pula melibatkan 4,737 warganegara (95.6 peratus) dan 219 lagi bukan warganegara (4.4 peratus),” katanya dalam kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, sebanyak enam kluster baharu direkodkan iaitu melibatkan pendidikan lain, dua kluster pendidikan tinggi, dua kluster komuniti dan satu kluster di tempat kerja.

Katanya, sehingga kini terdapat sejumlah 428 kluster aktif dengan jumlah keseluruhan  sebanyak 5,771 kluster.

“Kluster pendidikan tinggi di Jalan Bukit Rasah, Negeri Sembilan menyaksikan seramai 83 individu disaring dengan 23 kes positif dikesan manakala kluster sama di Indera Mahkota Lapan, Kuantan, Pahang pula sejumlah 80 individu telah pun disaring dan sebanyak 10 kes positif dikesan,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 dalam negara perlu melayari laman sesawang CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dengan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. – MalaysiaGazette