Yanti Mohd Yasin

KUALA LIPIS – Malaysian Medical Relief Society (MERCY) Pahang kini giat membantu memberi suntikan vaksin kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang terlantar di sekitar Kuantan dan Jerantut.

Pengerusi MERCY Pahang, Yanti Mohd Yasin berkata, pihaknya sudah bersiap sedia membantu menyuntik dos penggalak kepada golongan warga emas terutamanya mereka yang sakit dan terlantar di rumah.

Selain itu,  MERCY juga memikul tanggunjawab dalam membantu menyuntik golongan yang mempunyai sejarah komorbid seperti menghidap tekanan darah tinggi dan kencing manis, selain golongan berusia.

“Fasa akan datang untuk program jangkauan, sasaran kami membantu untuk meneruskan pemberian dos penggalak kepada golongan berisiko seperti OKU dan warga emas terlantar.

“Kami juga akan membantu memberikan dos penggalak kepada barisan hadapan selain daripada mereka yang terlibat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menerima dos penggalak.” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Terdahulu, hampir 3,000 golongan OKU dan warga emas telah selamat divaksinkan menerusi program jangkauan dengan kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Kuantan dan Pejabat Kesihatan Jerantut.

“Hampir 75 peratus daripada OKU Yang terlantar disuntik di depan pintu rumah atau kawasan mereka selesa dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

Yanti berharap usaha untuk membantu pihak kesihatan dapat diteruskan dalam mengamalkan norma baharu kepada semua penerima vaksin dan dos penggalak. – MalaysiaGazette