BAYAN LEPAS – “Benda jadi sekelip mata, nasib baik saya sempat elak kalau tidak mungkin saya salah seorang mangsa,” kata saksi kemalangan dua maut di Jalan Tun Dr Awang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, di sini lewat malam tadi.

Menurut Abdul Rahman Naina, 58, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Tiram sebelum melihat seorang penunggang motosikal terbabas di bahagian kanan jalan berkenaan.

Katanya, dia memberhentikan kenderaannya sebelum dua lagi wanita yang kebetulan berada di lokasi turut sama membantu lelaki tersebut.

“Ketika membantu mangsa kemalangan itu, tiba-tiba kami lihat ada sebuah kereta datang laju dan saya cuba memberi lampu agar dia dapat perlahankan kenderaannya.

“Susulan, lelaki yang memandu kereta itu cuba membrek keretanya namun gagal menyebabkan dia merempuh mangsa kemalangan serta dua wanita yang cuba membantu mangsa itu sebelum keretanya terbabas serta terbalik di jalan bertentangan.

“Ketika melihat keadaan kereta laju saya sudah mengelak ke tepi dan nasib baik sempat kalau tidak mungkin saya juga mangsa yang terlibat dalam kemalangan ngeri ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Abdul Rahman, akibat rempuhan itu mangsa kemalangan dilihat dalam keadaan berlumuran darah manakala wanita yang membantunya melanting kira-kira lima meter daripada lokasi asal.

“Saya tergamam sebaik melihat dua mangsa itu berlumuran darah manakala seorang lagi wanita meraung kesakitan akibat mengalami kecederaan di kakinya.

“Tidak lama kemudian orang awam yang melalui jalan tersebut datang membantu kami termasuk membuat panggilan kepada pihak kecemasan,” katanya.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan niat baik seorang wanita membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia serta mangsa yang dibantunya itu dirempuh sebuah kereta menyebabkan kedua-dua mereka terbunuh dalam kejadian di Jalan Tun Dr Awang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, di sini.

Kejadian jam 11.15 malam itu menyebabkan mangsa, Suhaila Zainal Abidin, 45, dan Faizal Abu Bakar, 34, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala. – MalaysiaGazette