gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemain-pemain industri vape negara menyambut baik pengumuman kerajaan berhubung pelaksanan duti eksais kepada produk vape bernikotin pada pembentangan Belanjawan 2022.

Namun, Malaysian Vape Industri Advocacy (MVIA) berharap kerajaan boleh mempertimbangkan kadar cukai yang telah ditetapkan kerana ia adalah agak tinggi.

Kadar cukai yang dikenakan akan menjadikan produk vape lebih mahal daripada rokok tembakau di Malaysia.

Sepatutnya, kadar cukai perlu rendah supaya harga produk vape tidak melebihi harga rokok dan menjadi insentif untuk perokok untuk berhenti merokok melalui vape,” kata presidennya, Rizani Zakaria.

Kadar cukai yang ditetapkan menerusi bajet tersebut adalah RM1.20 untuk setiap mililter cecair vape mulai 1 Januari 2022 dan kadar ini telah naik dari kadar semasa iaitu RM0.40 untuk setiap mililiter.

Beliau menambah, pelaksanaan duti eksais produk vape membuka satu harapan kepada pemain industri untuk melihat industri ini berkembang di peringkat domestik dan global.

”Kami sambut baik pengumuman tersebut. Mengenakan cukai kepada produk vape bernikotin adalah satu tindakan ke arah perkembangan industri vape tempatan. Ia juga meletakkan negara berada pada landasan yang betul dalam mencapai matlamat pengawalan keseluruhan industri vape,” ujarnya.

Bagaimanapun, seiring dengan perkembangan ekonomi dan juga industri, kadar cukai yang dilaksanakan haruslah dibuat dengan risiko berkadar yang mengambil kira kadar manfaat produk kepada komuniti perokok tegar.

Menurutnya, kajian yang diterbitkan oleh Public Health England (PHE) mendapati kesan vape ke atas kesihatan ialah 95 peratus kurang mudarat berbanding rokok tembakau.

Malah, vape telah terbukti membantu perokok berhenti merokok.

Sementara itu, Syed Azaudin Syed Ahmad, Presiden Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), turut berpendapat kadar ini perlu diperhalusi bersama industri sebelum ia dilaksanakan.

Kadar ini boleh memberikan kesan kepada pengilang tempatan dalam industri vape terutamanya produk cecair vape di mana cukai boleh mencapai RM72 untuk setiap botol 60 mimiliter.

“Seterusnya, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan satu peraturan dan juga melaksanakan kawal selia kepada keseluruhan ekosistem industri.

”Peraturan kawal selia haruslah mengambil kira pendekatan produk ini adalah kurang mudarat dan tidak patut dikawal sama seperti rokok supaya ia membolehkan perokok berhenti merokok melalui vape dan pada masa yang sama memastikan produk mematuhi piawaian untuk keselamatan dan kualiti produk,” kata Syed Azaudin. – MalaysiaGazette