KUALA LUMPUR – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sedang membuat bayaran balik pinjaman melalui potongan gaji atau debit terus juga layak mendapatkan diskaun 10 peratus tertakluk kepada bayaran balik yang diterima oleh PTPTN mulai 1 November 2021 hingga 30 April 2022.
Insentif diskaun akan dikemaskini di dalam akaun pinjaman peminjam pada akhir setiap bulan dan peminjam boleh membuat semakan penyata masing-masing mulai tujuh haribulan pada bulan yang berikutnya.
Menurut PTPTN, insentif diskaun bayaran balik yang diumumkan ini akan memberi manfaat kepada 1.67 juta peminjam, menunjukkan kerajaan dan PTPTN sentiasa prihatin kepada para peminjam PTPTN terutamanya ketika pandemik Covid-19 masih melanda negara.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berharap agar para peminjam akan terus menyokong usaha kerajaan dalam melestarikan dana pembiayaan pendidikan dengan melaksanakan tanggungjawab membayar balik pinjaman untuk masa depan pendidikan generasi akan datang.
Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN itu diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 Jumaat lalu, melalui pemberian insentif diskaun bayaran balik yang ditetapkan sebanyak 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.
Manakala diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.
PTPTN berkata, peminjam yang hendak membuat penyelesaian penuh pinjaman atau bayaran balik sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam
sekali bayaran perlu mendapatkan pengesahan baki hutang melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi
PTPTN mulai 1 November 2021.
Seterusnya, bayaran balik boleh dibuat melalui mana-mana saluran bayaran balik yang disediakan oleh PTPTN.
Katanya, peminjam yang ingin membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus hendaklah membuat permohonan secara dalam talian melalui:
potongan gaji di https://www.ptptn.gov.my/potonggajionline/ atau debit terus di https://www.ptptn.gov.my/direct_debit/direct_debit.html.- MalaysiaGazette