Aktiviti mandi sungai oleh penghuni rumah permata Al-Khautsar di Janda Baik, Bentong

BENTONG – Malaysia Relief Agency (MRA) Pahang mengambil kesempatan permulaan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan membawa penghuni Rumah Permata Al-Khautsarnberiadah di Janda Baik, Bentong, Pahang.

Setiausaha MRA Pahang, Mohd Rizal Masruddin berkata, inisiatif membawa anak-anak asnaf dan yatim ini berkhelah bagi memberi sokongan moral kepada mereka selepas lama terkurung akibat pandemik Covid-19.

“Anak-anak ini juga perlu diberi pendedahan aktivit luar setelah mereka cukup dos vaksin supaya memahami cara membawa diri apabila bermula sesi persekolahan, sekali gus bagi memberi sokongan untuk kembali ke sekolah setelah lama belajar PdPR dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada MalaysiaGazette.

Seramai 20 sukarelawan MRA Pahang terlibat dalam aktiviti ini.

Sukarelawan mengadakan sukaneka sebagai meningkatkan kerjasama aktiviti bekerja secara berkumpulan.

 

Pengerusi Rumah Al-Khausar. Mahadi Deraman berkata, aktiviti membawa penghuni beriadah di Janda Baik ini dijalankan sambil memberi motivasi dan sukaneka berbentuk kemahiran bekerja secara berkumpulan dengan gaya norma baharu.

“Seramai 18 anak Rumah Permata Al- Khauthar dibawa bermusafir dan pelbagai aktiviti riadah dijalankan oleh para sukarelawan selama dua hari satu malam di Janda baik, Bentong.

“Di samping itu, mereka perlu belajar memahami situasi pandemik bertukar dan memahami konsep endamik tetapi kekal menjaga prosedur operasi standard (SOP),” katanya yang menyifatkan sokongan komuniti sangat penting bagi menaikkan semangat penghuni rumah tersebut kerana mereka juga terkesan sama seperti orang lain.

Terdapat 18 penghuni Rumah Permata Al-Kauthar yang berusia tujuh hingga 17 tahun menetap di rumah perlindungan tersebut dengan bantuan tiga orang warden ditubuhkan sejak tahun 2015. – MalaysiaGazette