Dua terbunuh termasuk wanita yang bantu mangsa kemalangan di Jalan Tun Dr Awang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang lewat malam tadi.

BAYAN LEPAS – Niat baik seorang wanita mahu membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia serta mangsa yang dibantunya itu dirempuh sebuah kereta.

Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mereka terbunuh dalam kejadian di Jalan Tun Dr Awang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, di sini lewat malam tadi.

Suhaila, maut di lokasi kejadian.

Kejadian jam 11.15 malam itu menyebabkan mangsa, Suhaila Zainal Abidin, 45, dan Faizal Abu Bakar, 34, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Faizal, 34, turut maut di lokasi kejadian.

Pegawai Bomba Kanan II, Helmirizal Che Morad dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru berkata, pihaknya terima panggilan berhubung kemalangan tersebut pada jam 11.26 malam dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

Katanya, sebaik tiba pihak bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 25 tahun dan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang lelaki berusia 34 tahun.

Helmi.

Jelas Helmirizal, pemeriksaan lanjut mendapati terdapati empat mangsa di lokasi membabitkan dua wanita dan dua lelaki.

“Penunggang motosikal dan seorang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tersebut yang juga penjawat awam serta seorang lagi wanita dilaporkan mengalami kecederaan di kaki.

Kereta yang dipandu seorang penjawat awan terbalik di jalan bertentang selepas merempuh tiga mangsa.

“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu lelaki tersebut telah merempuh mangsa kemalangan serta dua wanita yang cuba membantu mangsa terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Suami kepada arwah Suhaila (duduk) tidak dapat menahan sebak sebaik melihat isterinya maut dalam kemalangan.

Tambah Helmirizal, mayat mangsa kemalangan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala dua mangsa yang mengalami kecederaan pula dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette