Zulkhairi Zainol Abidin

KUANTAN – Sebanyak 31 tan bekalan makanan sudah tiba untuk diagihkan kepada penduduk Pulau Tioman bagi persiapan menghadapi Monsun Timur laut yang dijangka bermula November ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, lima pangkalan hadapan di sekitar Pulau Tiomanan sudah menerima agihan bekalan makanan sejak semalam.

“Barangan bantuan disediakan berupa beras, biskut, gula, tepung, minyak masak, sardin dan kopi yang mampu bertahan untuk kira-kira 10 hari diberikan kepada setiap ketua isi rumah (KIR),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, usaha JKM dalam menghadapi persediaan menghadapi bencana, perolehan makanan barang kering telah diurusakn melalui pihak yang dilantik oleh kerajaan negeri dengan menggunakan khidmat Pasaraya Darul Makmur (PDM).

“Agihan barangan makanan akan dibuat kepada 140 pangkalan hadapan lagi persiapan menghadapi musim bencana banjir dengan kerjasama daripada anak syarikat MUIP iaitu PDM.

“Kebiasaan pihak JKM akan bekolaborasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Skuad Bencana, Malaysia Relief Agency (MRA) dan lain-lain.

Tambahnya, JKM akan meneruskan kolaborasi dan menambah baik dengan menyediakan bengkel persediaan banjir dan penyaluran bantuan ketika musim tengkujuh kepada sukarelawan.

“Pengagihan bantuan dengan gaya norma baharu dan taklimat turut diberikan kepada pertubungan NGO dan agensi di Pusat Perpindahan Sementara (PPS),” ujarnya. – MalaysiaGazette