Datuk Razarudin Husain. PIX: MalaysiaGazette Tan Sri Datuk Seri drug lords businessmen
Datuk Razarudin Husain. PIX: MalaysiaGazette

SEPANG – Dua kakitangan sebuah syarikat penerbangan kargo yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara empat lelaki yang ditahan kerana disyaki cuba menyeludup keluar dadah seberat 200 kilogram (kg) ke New Zealand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, keempat-empat lelaki tempatan berusia lingkungan 34 hingga 59 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di KLIA dan sekitar Lembah Klang pada 22 Oktober hingga 26 Oktober.

Beliau berkata, tangkapan dijalankan selepas pihak keselamatan Malaysia Airport Berhad mencurigai kandungan lima kotak yang dibawa lelaki yang dialamatkan ke Auckland, New Zealand.

“Polis kemudiannya memeriksa kotak berkenaan yang diisytiharkan sebagai barangan elektronik dan menemukan 180 bungkusan dadah jenis syabu seberat 200 kg dianggarkan bernilai RM8.1 juta.

“Dua kakitangan sebuah syarikat penerbangan kargo yang ditahan berperanan sebagai pemudah cara untuk sindiket terbabit mengeksport dadah itu ke luar negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di sini hari ini.

Razarudin berkata, siasatan awal polis mendapati sindiket terbabit melakukan empat penghantaran dadah keluar negara melalui modus operandi yang sama sejak April lepas.

“Polis kini mengumpul maklumat mengenai ketua dan saki-baki ahli sindiket ini dan kami percaya akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut Razarudin, saringan air kencing mendapati seorang lelaki yang ditahan itu positif dadah jenis ganja dan kesemua mereka direman sehingga 5 November Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, polis turut menyita pelbagai aset milik mereka yang ditahan itu suspek yang dianggar bernilai RM234,955 antaranya sebuah Ford Ranger, wang tunai RM3,560 dan jam tangan. – Bernama