Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menunjukkan barang rampasan selepas berjaya menumpaskan Geng Ragut yang menyamar sebagai penghantar makanan GrabFood yang meragut rantai leher mangsa ketika di Ibu Pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Dua bekas pekerja penghantar makanan antara empat anggota Geng Ashmer yang menjadi dalang 30 kes ragut di luar dan dalam kawasan Sentul berjaya diberkas baru-baru ini.

 Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, geng tersebut berjaya diberkas menerusi beberapa siri serbuan Op Rentap yang diadakan di kawasan Sentul, Wangsa Maju dan Gombak selama lima hari bermula 23 Oktober lalu.

Katanya, hasil siasatan mendapati kumpulan itu beroperasi sejak lima bulan yang lalu.

“Hasil dari serbuan tersebut, kita telah berjaya menahan seramai empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan umur 25 hingga 51 tahun di beberapa lokasi yang berasingan.

Dua bekas penghantar makanan Grab Food. Apabila mendapati kegiatan ragut rantai lumayan upahnya, maka mereka bekerja sepenuh masa meragut rantai leher emas,” katanya pada sidang media, hari ini.

ACP Beh Eng Lai menunjukkan barang rampasan selepas berjaya menumpaskan Geng Ragut yang menyamar sebagai penghantar makanan GrabFood yang meragut rantai leher mangsa ketika di Ibu Pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 NOVEMBER 2021.

Jelas beliau, kumpulan itu menyamar sebagai penghantar Grab Food sebagai modus operandi untuk meragut rantai emas.

“Kegiatan ini didalangi oleh tiga orang lelaki warga tempatan yang mensasarkan kawasan orang ramai yang memakai rantai leher emas.

“Modus operandi mereka ialah salah seorang suspek akan bertindak untuk ‘jaga line’ manakala seorang lagi bertindak ‘striker’ meragut rantai emas.

“Hasil emas yang diragut akan dijual kepada seorang lelaki tempatan berumur 51 tahun (satu lagi suspek) di Selayang Baru dan wang hasil jualan tersebut akan dibahagi-bahagikan,” katanya lagi.

Beh berkata, polis merampas 36 tali leher emas  yang dipercayai hasil ragut kumpulan tersebut yang bernilai RM55,000.

“Selain itu turut dirampas dua buah motosikal jenis Yamaha Y15, dua buah motosikal   Yamaha 135 LC, lima buah topi keledar perbagai jenis, enam buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua buah beg Grab Food warna hijau, dan alat penimbang,” tambah beliau.

Ujarnya lagi, tiga daripada anggota geng itu mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau.

Kesemua suspek direman di IPD Sentul bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette