55 orang penunggang basikal diperiksa semasa perkhidmatan advokasi dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan.

KUANTAN – Pasukan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB)  melakukan penguatkuasaan melalui rondaan pemantauan kepada 55 penunggang basikal di sepanjang Jalan Kuantan – Sungai Lembing.

Pengarah (JPJ) Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, rondaan tersebut memberi perkhidmatan advokasi berkaitan keselamatan penunggang basikal yang beriadah pagi Ahad lalu.

Jelasnya rondaan bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari di laluan tersebut kerana menjadi trek pilihan penunggang basikal di Kuantan.

“Sejumlah 55 orang penunggang termasuk basikal telah diperiksa sesi advokasi tentang panduan keselamatan jalan raya dikongsi oleh petugas UPB

“Antara perkara yang telah diberi penerangan  kepada penunggang basikal adalah kepentingan vaksinasi lengkap ketika menjalankan aktiviti riadah,” katanya.

Selain memastikan kesihatan berada pada tahap yang baik, penunggang perlu memeriksa teknikal basikal berada dalam keadaan optimum serta selamat digunakan, ujarnya

“Mereka juga dinasihati supaya tidak menunggang secara kelompok yang besar kerana ianya menganggu pergerakan kenderaan lain.

“Paling utama mereka hendaklah memberi tumpuan serta berhati-hati semasa menunggang basikal,” katanya.

Jelas Iskandar, JPJ memandang serius berkaitan perkara itu dan sentiasa memantau pengguna jalan raya demi memastikan keselamatan orang ramai terjamin.

“Penunggang basikal amat cenderung menghadapi risiko dan bahaya jika berada di atas jalan, jadi perlu menitik beratkan aspek keselamatan.

“Ini adalah berpunca daripada faktor keselamatan basikal itu sendiri, faktor pemakaian pakaian keselamatan serta sikap penunggang basikal itu sendiri,” katanya

Tambahnya, aktiviti avokasi ini akan sentiasa diteruskan bagi mendidik kepada penunggang basikal dalam konteks mewujudkan iklim kayuhan yang selamat. – MalaysiaGazette