Mohamad Zabawi (dua dari kiri) ketika menerima jentera penyembur daripada Agricultural Chemicals (M) Sdn. Bhd di Kepala Batas hari ini.

KEPALA BATAS – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kini dalam proses menghasilkan varieti padi beras wangi terbaik terutamanya kepada pesakit kencing manis.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, penghasilan varieti yang mempunyai skor glisemik (GI) rendah menerusi varieti MRQ 103 itu merupakan antara strategi MARDI dalam menyediakan padi berimpak tinggi sekali gus menjaga kesihatan orang ramai.

“Penghasilan MRQ 103 kini berada di peringkat akhir penyelidikan yang bermula pada 2009 dan ia termasuk dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 dalam kategori beras istimewa yang kerajaan perkukuhkan untuk tujuan tempatan dan eksport.

“Ia adalah varieti wangi dan merupakan salah satu ciri baik berbanding yang kita isytihar pada tahun ini iaitu MRQ 104 atau Kembang Sari kerana ia mempunyai GI (lebih) rendah.

Mohamad Zabawi (tengah) melihat jentera penyembur yang diterima pihaknya.

“Kita sasarkan kepada pengguna beras yang menjaga kesihatan terutamanya pesakit diabetes supaya gula tidak meningkat bila makan nasi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Prihatin Anjuran MARDI dan menerima sumbangan program khidmat masyarakat oleh syarikat Agricultural Chemicals (M) Sdn. Bhd. berupa sebuah jentera penyembur pelepasan tinggi pelbagai guna dengan corong baja untuk tujuan penyelidikan.

Tambah Mohamad Zabawi, MRQ 103 dijangka mula ditanam dan diperkenalkan di pasaran menjelang tahun depan.

“Kita sedang cari syarikat pengilang yang bersesuaian untuk hasilkan beras ini supaya tidak bercampur dengan varieti lain bagi mengelakkan kehilangan ciri baiknya,” kata beliau. – MalaysiaGazette