Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi pernah dikecam kerana membuat kenyataan peristiwa Lahad Datu adalah sandiwara.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan menjadi wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat pada Sabtu lalu bertindak meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama.

Menurut satu surat yang tular hari ini, peletakan jawatan itu dibuat serta merta bertarikh 30 Oktober lalu.

“Selaras dengan ikrar kesetian saya kepada Parti Warisan Sabah, saya dengan ini menyerahkan dan memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dengan serta merta.

“Saya faham bahawa dengan tindakan saya, saya tidak akan layak untuk menjadi calon untuk ADUN Sabah selama lima tahun bermula daripada tarikh surat ini,” tulis bekas Menteri Pakatan Harapan (PH) itu.

Surat peletakan jawatan ADUN Segama oleh Mohamaddin Ketapi
Surat peletakan jawatan ADUN Segama oleh Mohamaddin Keta

Surat itu diterima pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat Negeri Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, hari ini.

Sabtu lalu, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada parti pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal dan menjadi wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika pentadbiran kerajaan PH itu turut mengumumkan menjadi ADUN bebas mesra kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohamaddin menjadi pemimpin kedua Warisan meninggalkan parti Sabah itu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob pada 8 Oktober lalu. – MalaysiaGazette