Kakitangan pekerja kilang beratur menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin pada Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 di Texas Instrument, Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi sektor pembuatan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melabuhkan tirainya selepas berjaya menvaksinasi lebih 1 juta pekerja dalam sektor pembuatan di seluruh negara.

Secara keseluruhannya terdapat 78 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS di seluruh Malaysia yang telah beroperasi melalui dua pendekatan iaitu PPV Di Tapak dan PPV Kegunaan Umum.

Sepanjang PIKAS dilaksanakan, seramai 1,065,801 orang pekerja dalam sektor pembuatan di seluruh negara telah berjaya menerima vaksin lengkap.

PIKAS yang dilancarkan pada 16 Jun 2021 merupakan program imunisasi kerjasama awam dan swasta berfokuskan pekerja industri yang pertama dan terbesar di negara yang dicetuskan melalui sesi libat urus dengan persatuan-persatuan industri, dewandewan perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana serta kesatuan sekerja.

Ia telah dilancarkan sebagai Fasa 4 Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) bertujuan untuk membantu mencapai imuniti kelompok di kalangan Rakyat khususnya pekerja di sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan.

Kejayaan PIKAS adalah hasil daripada persefahaman dan perkongsian sumber sektor awam dan swasta di mana Kerajaan komited menyediakan vaksin secara percuma manakala pihak swasta membiayai kos penyediaan dan pentadbiran PPV termasuk perkhidmatan kesihatan swasta, kata MITI.

PIKAS memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan pembukaan sektor ekonomi dapat dilaksanakan dengan selamat seterusnya menyokong
kelangsungan rantaian bekalan produk dan perkhidmatan, selain menyokong usaha mempercepatkan imuniti kelompok dalam negara. – MalaysiaGazette