Ismail Sabri Yaakob

BANGI – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dan parti-parti politik yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan SOP yang diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 24 Oktober lalu merangkumi semua pihak dan tiada istilah golongan kayangan mahupun orang biasa.

“Jadi kita tidak ada kompromi, tidak ada istilah orang biasa dan orang kayangan, orang biasa kena kompaun dan orang kayangan tidak kena, undang-undang sama sahaja jadi saya harap semua rakyat patuh kepada SOP,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI).

Ismail Sabri berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai dua buah parti politik yang dikompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Barisan Nasional (BN) yang mengadakan majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis lalu dikenakan kompaun RM10,000.

PKR juga turut dikenakan kompaun RM10,000 oleh polis selepas satu program penerangan bergerak tanpa perhimpunan diadakan di Taman Krubong Jaya, pada hari Ahad.

Turut dikompaun Ahli Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) selepas mengadakan satu sidang media di Melaka pada Rabu lalu.

Ismail Sabri berkata, peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] juga tidak membenarkan senarai aktiviti berkempen dalam SOP terkini Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

“Tidak ada sesiapa yang kebal dari segi undang-undang, Akta 342 jelas dari segi hukuman dan kesalahan telah pun diumumkan oleh kerajaan walaupun kita sekarang di Fasa 4 PPN tetapi SOP yang jelas telahpun diumumkan oleh kerajaan.

“Jadi sesiapa sahaja, parti mana sekalipun tidak terlindung atau kebal daripada undang-undang. Jika mereka melakukan kesalahan tindakan pasti diambil.

Pada 24 Oktober lalu, Khairy mengumumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Kata Khairy, larangan tersebut ditetapkan meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan SOP PRN dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette