Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan (kanan) diiringi Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (kiri) beramah mesra bersama Pengarah Eksekutif Kumpulan MARACorp, Datuk Suhaili Abdul Rahman (dua kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Talent Corp, Thomas Mathew (dua kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara MARA Collaborate dan Talent Corporation di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) menyasarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan profesional kepada graduan di bawah ekosistem pendidikan MARA yang terdiri daripada pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) serta pelajar di bawah tajaannya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi tujuan itu kolaborasi dilakukan dengan pihak Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) yang bertindak sebagai penghubung antara MARA dan pihak berkepentingan yang terdapat dalam jaringan mereka.

Katanya, TalentCorp akan menawarkan inisiatif sedia ada seperti melaksanakan program Nurturing EXpert Talent (NEXT), Structured Internship Programme (SIP), Talent Mobility, Semester Break Programme (SBP), Young Employable Student (YES!) dan #KisahSiswa kepada graduan di bawah MARA.

“Kolaborasi ini akan memberi penumpuan kepada beberapa skop utama seperti bekerjasama dan penghubung di antara TalentCorp dengan pelajar-pelajar dan jaringan syarikat di dalam MARA.

“Ia juga mampu bersama mewujudkan projek khas dan kerjasama yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan di dalam ekosistem MARA,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara MARA Corporation dan Kumpulan Syarikat TalentCorp di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Menurut Mahdzir lagi, pihaknya mempunyai sasaran dimana dengan kerjasama itu MARA yang melahirkan purata 64,000 graduan setahun boleh memenuhi tuntutan industri dan mempunyai daya kebolehpasaran yang tinggi di alam pekerjaan.

Ujarnya, antara cabaran yang dihadapi MARA ketik ini adalah kebolehpasaran graduan lepasan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) malahan juga pelajar tajaannya.

Sementara itu, Saravanan pula percaya komitmen MARA untuk menghasilkan modal insan bumiputera global akan menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik, dengan memberikan tumpuan kepada bidang kritikal.

Katanya, ini kerana MARACorp adalah rakan strategik dan ideal, yang memberikan TalentCorp akses kepada ekosistem lengkap penawaran dan permintaan bakat MARA.

“Saya percaya kerjasama antara TalentCorp dan MARACorp akan memberikan satu impak yang cukup besar kepada sektor pekerjaan negara.

“Bukan sahaja dari segi memperkasakan saluran bakat bagi seluruh eko-sistem MARA, tetapi ianya turut mampu meningkatkan agenda bakat nasional terutamanya dalam bidang pekerjaan graduan.

“Saya juga percaya kerjasama yang terjalin antara TalentCorp dan MARACorp ini akan membawa kepada perubahan positif demi masa depan warga pekerja Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast