Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali dalam sidang media pelanggaran SOP ketika kempen PRN Melaka.

MELAKA – Tiga penganjur parti politik dikompaun RM18,000 selepas didapati melanggar kesalahan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, ketiga-tiga penganjur lelaki berusia 30 hingga 40-an itu didapati melanggar SOP berkaitan program berunsur kempen pilihan raya sejak 24 Oktober sehingga malam Sabtu lalu.

Menurutnya, kompaun yang dikenakan itu bagaimanapun tidak melibatkan parti terbabit, sebaliknya dikeluarkan kepada individu di bawah kesalahan Akta 342.

“Sebagaiamana yang kita sedia maklum, Melaka masih lagi berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) jadi apa-apa aktiviti yang menyebabkan ramai orang berkumpul di satu-satu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal adalah dilarang dan menjadi satu kesalahan.

“Berdasarkan laporan diterima dalam kejadian terbaharu pada Sabtu lalu, program di Taman Krubong Jaya menghimpunkan 30 hingga 40 orang sedang mendengar ceramah kempen pilihan raya daripada sebuah parti politik.

“Susulan itu, polis terpaksa mengambil tindakan mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada penganjur kerana melanggar SOP Akta 342 berdasarkan bukti-bukti rakaman gambar yang diambil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Menurutnya sebelum ini, Polis Melaka turut mengeluarkan dua lagi kompaun kepada dua parti politik yang turut disabitkan kesalahan di bawah akta sama.

“Selain itu, Polis Melaka turut membuka enam kertas siasatan berkaitan kesalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Akta 342 yang akan dirujuk kepada pejabat pendakwaan untuk tindakan lanjut,”katanya.

Pada 24 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan semua kegiatan, perhimpunan, berkempen atau majlis sosial tidak dibenarkan sepanjang tempoh perjalanan pilihan raya negeri itu yang berkuat kuasa sehingga 27 November ini. -MalaysiaGazette