Enam orang mahasiswa UTeM telah mengharumkan nama negara apabila menjadi juara pertandingan antarabangsa Kaspersky Interactive Protection Simulation (KIPS) baru-baru ini.- Foto UTeM

KUALA LUMPUR – Kreativiti dan kepakaran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terserlah apabila enam orang pelajarnya menjuarai pertandingan Kaspersky Interactive Protection Simulation (KIPS) peringkat antarabangsa baru-baru ini.

Pelajar yang bekerjasama dalam satu kumpulan dikenali sebagai MH4/2 itu terdiri daripada Kwong Tung Nan, Liew Kok Foo, Mervyn Lim, Lim Zi Feng, Tan Wen Xiang dan Heng Fuyen.

Kesemua mereka merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) kecuali Heng Fuyen adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Permainan).

Pertandingan yang mengambil masa selama tiga minggu itu disertai lebih daripada 30 pasukan.

Ketua pasukan UTeM, Kwong Tung Nan berkata, pada peringkat pertama, pemain mengambil peranan sebagai pakar teknologi maklumat (IT) di sebuah lapangan terbang yang terjejas oleh eksploitasi shellshock, perisian tebusan (ransomware), Advanced Persistent Threat (APT) dan kecurian wang oleh pekerja dalaman.

“Manakala di peringkat kedua pula, pemain mengambil peranan sebagai diplomat sebuah negara yang ditugaskan untuk mengambil tindakan bagi situasi Distributed Denial of Service, APT, hacktivis dan perisian tebusan.

“Seterusnya peringkat akhir adalah paling sukar dan pemain mengambil peranan pakar IT di loji kuasa yang disasar oleh pelbagai serangan tajaan negeri yang sangat khusus terhadap loji kuasa dan PLC yang digunanya dan menurut Kaspersky, peringkat ini amat serupa dengan serangan ‘stuxnet’ yang dijalankan beberapa tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Dekan Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad berkata, pemenang utama membawa pulang wang tunai sebanyak AS$3,000 dan setiap anggota kumpulan menerima lesen latihan di Kaspersky Online Cybersecurity Training Platform.

Katanya, kejayaan itu bukan sahaja memberi manfat kepada pelajar yang terlibat, malah UTeM telah mendapat beberapa kerusi bagi pelajar-pelajar tertentu untuk menyertai latihan “Cybersecurity for IT Online” secara percuma. – MalaysiaGazette