KUALA LUMPUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menyambut baik Bajet 2022 dalam memberi penekanan kepada agenda pemerkasaan Bumiputera.

Di bawah inisiatif itu, sejumlah RM6.6 bilion telah diperuntukkan untuk tujuan pendidikan termasuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program daripada sijil kepada diploma serta usaha melahirkan lebih ramai profesional Bumiputera di bawah agensi seperti Yayasan Peneraju, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Muzzammil Ismail berkata, sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, matlamat utama yayasan ini adalah untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, TVET, profesional, teknologi dan pensijilan spesialis.

Kumpulan sasaran sebahagian besarnya adalah penerima manfaat daripada golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang mempunyai latar belakang mencabar.

Sehubungan itu, untuk tahun 2022, Yayasan Peneraju akan memberi tumpuan kepada program menaik taraf latihan dan melatih semula supaya tenaga kerja lebih bersedia untuk kekal relevan dalam dunia pasca Covid-19, serta memperluaskan tawaran program mengikut permintaan pasaran dan industri selain meneruskan program sedia ada.

Yayasan Peneraju mensasarkan untuk membiaya lebih 10,000 bakat Bumiputera baharu dan lebih 6,500 penerima faedah sedia ada yang sedang menjalani latihan dalam bidang berimpak tinggi dan khusus kewangan, perakaunan, teknologi, spesialis dan program berkemahiran tinggi.

”Pandemik Covid-19 di Malaysia telah memberi kesan besar kepada keseluruhan ekosistem negara meliputi ekonomi, perniagaan dan masyarakat. Krisis ekonomi negara menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan sehingga memberi tekanan kepada rakyat,” tambah Muzzammil.

”Sama ada mereka terdiri daripada graduan, pencari kerja atau profesional muda, golongan belia selalunya paling terdedah kepada pergolakan ekonomi.

“Justeru, bajet yang diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju pastinya bermanfaat untuk membantu golongan yang mudah terjejas ini dan lebih ramai bakat Bumiputera yang mampu menceburi kerjaya berpendapatan tinggi dan berdaya saing di peringkat global,” kata Muzzammil. – MalaysiaGazette