Bajet2022
Orang awam tidak melepaskan peluang menonton siaran langsung pergulungan Belanjawan 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Pandan Jaya, Kuala Lumpur. foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 OKTOBER 2021.

 

KUALA LUMPUR – Sokongan dan komitmen kerajaan kepada industri seni dicerminkan melalui peruntukan bernilai RM238 juta dalam Bajet 2022 yang diumumkan baru-baru ini.

Ini termasuk RM30 juta menerusi skim padanan pinjaman pelaburan bagi inisiatif platform animasi negara yang akan dikendalikan oleh MyCreative
Ventures.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, bukan ini sahaja yang boleh dimanfaatkan oleh bakat-bakat seni tempatan kerana jika mereka mempunyai perniagaan, mereka juga boleh memanfaatkan bantuan yang secara keseluruhannya bernilai RM40 bilion bagi memperkasakan usahawan tempatan.

Bagi perniagaan mikro, kecil dan sederhana (atau PMKS), peruntukan kredit mikro bernilai RM1.8 bilion telahpun tersedia, ada yang dengan moratorium enam atau 12 bulan, dan dengan kadar 0%.

”Jadi, gunakanlah bantuan-bantuan ini sebaik mungkin bagi mengembangkan perniagaan seni masing-masing kerana penyertaan aktif kalian diperlukan untuk mengembangkan ekonomi semula,” katanya ketika majlis perasmian Tripart & CIMB Artober Hotel Art Fair 2021.

Pameran ini menampilkan 350 karya seni daripada lebih 100 karyawan tempatan diadakan selama tiga bulan.

Melalui program seperti TripART dan CIMB Artober ini, sekurang-kurangnya RM3 juta akan dijana melalui pembelian karya-karya bakat-bakat seni negara.

Sebelum ini juga pelbagai sokongan seperti geran dan pinjaman telah diberikan untuk membantu industri ini bertahan dan pulih.

Untuk itu, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM22 juta dalam tempoh 14 bulan lalu bagi memanfaatkan lebih 8,000 seniman di bawah CENDANA.

Dalam masa yang sama, katanya, dana sebanyak hampir RM1.5 juta daripada Yayasan Hasanah melalui ArtsFAS telah memberi peluang kepada hampir 1,400 penggiat seni untuk menjana pendapatan dalam tempoh tiga setengah bulan.

Sehubungan itu, lebih banyak sokongan daripada sektor korporat juga diperlukan dengan melakukan usaha sama kebudayaan bersama galeri-galeri tempatan untuk membantu membina bakat anak-anak seni tempatan.

”Upahlah penghibur dan kumpulan kebudayaan tempatan untuk acara pada masa hadapan kerana inilah caranya untuk kita membantu punca rezeki mereka agar mereka mampu bergerak ke hadapan.

”Saya berharap kolaborasi TripART ini akan menjadi pemangkin kepada sektor korporat dan peminat seni bagi memacu perkembangan industri kreatif tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette