Setiausaha Biro Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Hishamuddin Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kerjasama yang dijalinkan antara tiga parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan mampu mengukuhkan lagi Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka.

Setiausaha Biro Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata, penyokong Pas dan Gerakan boleh menerima kehadiran kepimpinan Bersatu di Melaka, begitu juga penyokong Besrsatu boleh menerima kehadiran Pas dan Gerakan.

Katanya, semua itu adalah berdasarkan kerjasama antara ketiga-tiga parti dalam menyantuni dan membantu rakyat termasuk menghulurkan bantuan serta menyelesaikan segala isu rakyat terutama ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Jelasnya, selain suara akar umbi di peringkat Cawangan dan Bahagian, suara rakyat atau suara pengundi itu sendiri diambil kira oleh Bersatu kerana itulah yang menentukan kemenangan bagi Bersatu, selain meneruskan kerjasama dengan Pas dan Gerakan di bawah PN.

“Bersatu sentiasa mengambil pandangan semua pihak terutama ahli akar umbi di peringkat Cawangan dan Bahagian.

“Pandangan akar umbi parti itu penting kerana mereka lebih dekat dengan rakyat yang menjadi pengundi dan kerjasama Bersatu, Pas dan Gerakan sentiasa erat dalam membantu rakyat.

“Pucuk pimpinan tertinggi Bersatu sentiasa mengambil kira pandangan akar umbi. Inilah kekuatan kita. Kita diterima rakyat kerana agenda kita ialah menyelesaikan segala masalah rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hishamuddin berkata, berdasarkan pendekatan Bersatu iaitu mendengar suara akar umbi dan pengundi sebagai penentu kepada pemilihan calon, menjadi harapan Bersatu untuk mengetengahkan calon-calon boleh menang.

Dalam hal itu kata beliau, Bersatu tidak boleh lakukan kesilapan dalam memilih calon kerana PRN Melaka menjadi permulaan atau perintis kepada negeri-negeri lain untuk menerima Bersatu dalam politik tanahair dan seterusnya menentukan bahawa pucuk pimpinan tertinggi Bersatu telah memilih calon yang tepat iaitu boleh menang dan diterima pengundi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast