Ayob Khan (kanan) melihat barang rampasan yang ditumpaskan hasil intipan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya menumpaskan sindiket seludup tayar hasil intipan keluar masuk di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 727 tayar pelbagai saiz dibawa menggunakan treler di tahan di Plaza Tol Kempas pada 28 Oktober lalu bernilai RM847,759 dirampas.

“Pasukan serbuan telah mengekori sebuah lori yang mencurigakan keluar dari CIQ bangunan Sultan Iskandar dan telah berjaya menahan lori berkenaan di Plaza Tol Kempas.

“Pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun yang merupakan pemandu lori tersebut. Susulan tangkapan itu, polis berjaya membuat seorang lagi tangkapan warrga tempatan di sebuah primis di Taman Seri Skudai,” katanya pada sidang media di Tampoi, dekat sini.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati suspek merupakan majikan kepada suspek pertama yang ditangkap dan dia menguruskan tayar yang dibawa masuk ke Malaysia dari Singapura tidak dibayar cukai.

Difahamkan sindiket itu telah beroperasi kira-kira enam hingga tujuh bulan lalu.

“Hasil soal siasat awal, pemandu lori ini apabila diisytiharkan masuk Singapura adalah kosong (tiada barang), apabila keluar pun diisytiharkan kosong. Dia mempunyai kad akses yang membolehkan dia melalui lorong khas.

“Siasatan susulan masih dijalankan untuk melihat di mana berlakunya kekurangan dan ketirisan khususnya di pintu masuk negara.

“Tayar yang dapat kita tangkap ini nilainya RM600,000, bayangkan kalau barang kontraban lain seperti rokok, arak atau dadah. Nilai cukai eksais tayar ini tinggi dalam 45 peratus, bayangkan hampir separuh nilai cukai yang tidak dibayar apabila ia dibuat secara berterusan,” ujar beliau.

Menurut Aypb Khan, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette