SPR
Bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil maklum akan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menamatkan Proklamasi Darurat (Sarawak) P.U.(A) 323, semalam.

Susulan itu SPR akan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN-12) Sarawak, tidak lama lagi.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.

“Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” kata Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak.

Ketetapan itu setelah SPR menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menterinya, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Semalam, pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja.Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, perkenan Seri Paduka terhadap penamatan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ini selaras dengan Perkara 40 dan 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun perlu diperjelaskan di sini bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Meskipun begitu, perkenan Seri Paduka Baginda kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit.

Kata beliau, keputusan itu diperkenan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

Dalam kenyataan itu, SPR berkata PRN Sarawak harus diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh penamatan Proklamasi Darurat di Sarawak.

“Berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

“Di bawah Seksyen 3(4) Ordinan yang sama berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan,” kata SPR lagi. – MalaysiaGazette