Logo Bank Simpanan Nasional (BSN)

KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional akan terus memperluaskan usaha untuk membantu para pelanggan bersasar daripada semua kumpulan pendapatan, perusahaan mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui pengendalian beberapa pembiayaan khas yang diperuntukkan di bawah Bajet 2022

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, di bawah pembentangan Bajet 2022, BSN memainkan peranan dengan menawarkan pembiayaan khas Skim Mikro Kredit di bawah Skim Semarak PKS Keluarga Malaysia – Mikrokredit BSN dengan dana berjumlah RM800 juta.

Pengusaha mikro boleh membuat pinjaman sehingga RM75 ribu pada kadar 0 peratus untuk enam (6) bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

Tempoh pinjaman pula adalah sehingga lima tahun.

Skim ini turut ditawarkan kepada golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan serta pengusaha fasiliti sukan yang ingin mendapatkan pembiayaan bagi meringankan keperluan kewangan mereka.

Di samping itu, BSN juga akan terus menjadi penyelaras bagi Skim Geran Pendigitalan PKS yang kini telah dinaikkan jumlah dananya kepada RM200 juta dengan RM50 juta dikhususkan untuk usahawan mikro Bumiputera di luar bandar dalam usaha meningkatkan lagi penerapan digital dalam kalangan PKS.

Katanya, BSN turut serta dalam menawarkan pembiayaan perniagaan dengan jumlah dana sebanyak RM100 juta melalui pelaburan ekuiti dan quasi-equity. Jumlah ini adalah sebahagian daripada RM600 juta yang disediakan bagi dana pembiayaan perniagaan yang diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama BSN dan TERAJU.

Selain itu, para pelanggan juga boleh mendapatkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) yang kini dibuka sehingga 31 Disember 2021 kepada PKS dalam sektor perkhidmatan yang terjejas Covid-19 sejak bulan Jun 2020 (kecuali subsektor pelancongan dan berkaitan).

Kemudahan pinjaman mikro untuk modal kerja dan pembelian aset disediakan sehingga RM50,000 selain perusahaan mikro tersebut perlu beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan. – MalaysiaGazette