Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Lima negeri diumumkan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Isnin depan.

Negeri-negeri itu adalah Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein

“Mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini bersetuju untuk peralihan Fasa PPN bagi negeri-negeri berikut berkuatkuasa 8 November.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 adalah sama dengan sebelum ini,” tambah Hishammuddin dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, tinggal dua negeri sahaja lagi yang masih dikategorikan dalam Fasa 3 PPN iaitu Sarawak dan Kelantan.

Pada 25 Oktober lalu, dua negeri iaitu Johor dan Terengganu beralih ke Fasa 4 PPN.

Dalam pada itu, kerajaan turut mengumumkan kebenaran memasuki stadium bagi remaja bawah 18 tahun dengan syarat lengkap vaksinisi.

Kebenaran ini turut berkuatkuasa pada 8 November depan, tambah Hishammuddin.

“Kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun yang belum/tidak lengkap vaksin masih tidak dibenarkan memasuki stadium termasuklah semua fasiliti sukan.

“Pada masa ini, aktiviti makan dan minum di dalam stadium adalah tidak dibenarkan,” jelas Ahli Parlimen Sembrong itu lagi.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kerajaan juga bersetuju untuk memansuhkan kutipan kos operasi Covid-19 berjumlah RM2,600 bagi setiap pengembara bukan warganegara.

Bagaimanapun, caj bagi stesen kuarantin masih berkuatkuasa dan caj yang dikenakan stesen kuarantin swasta adalah pada kadar yang sama (pakej standard) seperti sebelum ini yang berkuatkuasa pada 15 November depan.

“Kos kuarantin bagi tujuh kumpulan warganegara Malaysia yang dikecualikan bayaran caj kuarantin ditanggung oleh kerajaan. Ujian ulangan saringan pengesanan COVID19 diselaraskan oleh KKM menerusi Jabatan Kesihatan Negeri / Daerah yang berkaitan.

“Pelaksanaan stesen kuarantin swasta ini bermula 7 hari selepas diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 pada 5 November 2021,” ujar beliau. – MalaysiaGazette