Logo Petronas.

KUALA LUMPUR – Petronas telah menandatangani Perjanjian Induk (HOA) dengan Bintulu Prilled Urea Sdn Bhd (BPUSB) untuk potensi bekalan gas asli sebagai bahan mentah kepada cadangan loji petrokimia BPUSB di Tanjung Kidurong, Bintulu, Sarawak.

HOA itu telah ditandatangani di Kuching pada 3 November lalu.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petronas, Mohamed Firouz berkata, HOA ini menekankan komitmen firma itu untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengembangkan industri gas domestik dan petrokimia di Sarawak mengikut Perjanjian Prinsipal yang ditandatangani pada tahun 2016.

“Pertumbuhan ekonomi dalam negeri akan memberi manfaat besar kepada rakyat Sarawak.

”Ke arah objektif ini, Petronas dengan sokongan kerajaan negeri akan terus berusaha untuk menarik pelaburan baharu ke dalam sektor huluan bagi memastikan bekalan gas yang mampan kepada semua pelanggan sedia ada dan baharu kami,” ujarnya.

HOA ini juga memberi peluang kepada Petronas untuk menjalin hubungan baharu dengan BPUSB sebagai pelanggan gas domestik. – MalaysiaGazette