Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Negeri Sembilan Sebagai Negeri Angkat Kepada Parlimen Masjid Tanah di Kampung Pulau, Melaka.

MELAKA – Semua 28 calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menandatangani surat akuan bersumpah (SD) dan beberapa dokumen lain bagi mengelakkan mereka ‘lompat parti’ sekiranya menang pada 20 November ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya telah pun mempersiapkan pasukan peguam untuk meneliti supaya tiada lagi calon-calon yang menang atas tiket BN ‘melompat’ ke parti lain.

“Ini kerana kestabilan politik negara terutama di Melaka itu penting, sementara dalam Parlimen atau DUN belum ada lagi akta atau enakmen ini (lompat parti).

“Maka kita terpaksa membuatkan aku janji dan ada dua, tiga lagi dokumen untuk ditandatangani bakal-bakal calon sebelum mereka diberi tauliah esok,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Negeri Sembilan Sebagai Negeri Angkat Kepada Parlimen Masjid Tanah di Kampung Pulau di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO merangkap Pengarah Pilihan Raya berkata, beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan semua calon UMNO yang akan bertanding semalam.

“Kita bagi taklimat supaya mereka kenal pasti penyokong dan pencadang sebagai wakil calon jadi mereka ini bolehlah bersiap sedia.

“Ini kerana kita tak buat pengumuman calon di Melaka sebaliknya secara siaran media di PWTC,” katanya.

Ditanya, adakah 90 peratus calon UMNO itu terdiri dalam kalangan muka baharu, dan diterima penyandang kerusi, beliau mengakauinya dan ia diterima baik penyandang.

“Ya (90 peratus muka baharu) begitulah kalau sudah dikata.

“Insyallah mereka (muka baharu) ini pun bukan sembarangan orang, mereka juga pemimpn di peringkat bahagian tapi mereka ini dulu lama berkhidmat di bawah,

“Jadi (penyandang) yang sudah berkhidmat selama tiga penggal ini pun mereka beri laluan setelah lama berada di DUN masing-masing,” katanya.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN- Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas- Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (PPBM-Telok Mas).

Untuk rekod, kesemua 28 DUN di Melaka mempunyai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi terdiri lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus wanita.

BN akan meletakkan calon di semua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka selepas PAS mengumumkan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) bersama PPBM dan Gerakan pada pilihan raya berkenaan.

Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) juga akan mengumumkan senarai calon bertanding, selewat-lewatnya Ahad ini. – MalaysiaGazette