Papan peringkatan pemakaian pelitup muka di kawasan tertentu di Jerman bagi membendung penularan wabak Covid-19. foto Reuters

LONDON – Eropah sekali lagi berada ‘di tengah-tengah’ pandemik Covid, – amaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika kes-kes melonjak di seluruh benua.

Pada sidang akhbar, Ketua WHO Eropah Hans Kluge berkata, benua itu boleh menyaksikan setengah juta lagi kematian menjelang Februari depan.

Beliau menyalahkan pengambilan vaksin yang tidak mencukupi menjadi punca peningkatan.

“Kita mesti mengubah taktik kita, daripada bertindak balas terhadap lonjakan Covid-19 kepada menghalangnya daripada berlaku,” katanya.

Kadar vaksinasi telah perlahan di seluruh benua dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Walaupun kira-kira 80% orang di Sepanyol telah menerima dua vaksin, jumlah itu lebih rendah di Perancis dan Jerman – masing-masing pada kadar 68% dan 66% – dan lebih rendah di beberapa negara Eropah tengah dan timur.

Hanya 32% rakyat Rusia telah divaksin sepenuhnya setakat Oktober 2021.

Kluge juga menyalahkan kelonggaran langkah kesihatan awam yang mendorong peningkatan jangkitan di rantau Eropah WHO, yang meliputi 53 negara termasuk bahagian Asia Tengah.

Setakat ini WHO telah merekodkan 1.4 juta kematian di seluruh rantau ini.

Ketua teknikal WHO mengenai Covid-19, Maria Van Kerkhove berkata, sejak empat minggu lalu kes di seluruh Eropah telah melonjak lebih 55%, walaupun terdapat “bekalan vaksin dan alat yang mencukupi”.

Dr Mike Ryan pula berkata, pengalaman Eropah adalah “amaran untuk dunia”.

Ia berlaku ketika Jerman merekodkan hampir 34,000 kes Covid-29 setiap hari dalam tempoh 24 jam yang lalu, juga menyaksikan peningkatan rekod.

Walaupun angka Covid-19 di Jerman berada di bawah jumlah kes harian terkini United Kingdom iaitu lebih daripada 37,000, pegawai kesihatan awam bimbang gelombang jangkitan keempat boleh membawa kepada sejumlah besar kematian dan tekanan ke atas sistem kesihatan.

Dalam 24 jam yang lalu 165 kematian telah direkodkan, meningkat daripada 126 seminggu yang lalu.

Lothar Wieler dari institut RKI Jerman memberi amaran: “Jika kita tidak mengambil langkah balas sekarang, gelombang keempat ini akan membawa lebih banyak penderitaan,”.

Lebih tiga juta warga emas Jerman belum diberi vaksin, dikhuatiri memberi risiko kepada mereka.

Kenaikan paling dramatik kes kematian dalam seminggu lalu di Rusia, yang mana lebih 8,100 kematian direkodkan.

Ukraine pula mencatatkan 3,800 kematian. Kedua-dua negara mempunyai kadar vaksinasi yang sangat rendah dan Ukraine mengumumkan 27,377 kes baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu. – BBC