MBSP menyerahkan tong kompos kepada peniaga di Kompleks Makanan Tun Dr Awang di Butterworth hari ini.

SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan melaksanakan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal Lestari sebagai langkah mengekang peningkatan sampah di bawah kawasan seliaan mereka mulai Januari depan.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, langkah itu diambil susulan data di tapak pelupusan Pulau Burung menunjukkan aggregat penghasilan sampah meningkat dan sekiranya ia tidak dikawal, boleh menyebabkan Seberang Perai akan menghadapi krisis alam sekitar yang serius menjelang tahun 2030.

Jelas beliau, kutipan cukai taksiran juga tidak mampu menampung kos pengurusan sisa yang tinggi sekiranya tapak pelupusan sampah penuh lebih awal.

Rozali (dua dari kanan).

Kata Rozali, peningkatan sisa industri yang mendadak memaksa satu tindakan diambil untuk menyelamatkan isu alam sekitar yang akan berbangkit sekiranya tapak pelupusan Pulau Burung penuh lebih awal dari jangka hayatnya.

“Pada tahun 2019, sampah yang telah dijana oleh penduduk Seberang Perai adalah 553,242 tan, atau 1,515 tan setiap hari, meningkat kepada 598,234 tan pada tahun 2020, iaitu 1,639 tan setiap hari, peningkatan sebanyak 8.1%.

“Penghasilan sampah menunjukkan penjanaan sampah industri juga telah meningkat begitu ketara iaitu 292,252 tan atau 15.99% pada tahun 2019, melonjak kepada 352,464 tan atau 20.6% pada tahun 2020.

“Bagaimanapun, penjanaan sisa domestik telah berkurangan iaitu 260,990 tan pada 2019, berkurangan kepada 245,770 tan pada tahun 2020, berkurangan 5.8%,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pengumpulan Sisa Organik di Kompleks Makanan Taman Tun Dr Awang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Rozali berkata, setiap premis industri akan dikenakan caj perkhidmatan sekiranya penjanaan sampah melebihi 24 tan setahun.

Bagaimanapun, jelas beliau, pengusaha industri tidak perlu bimbang kerana industri mampu melupuskan sisa-sisa tidak boleh dikitar semula secara percuma.

“MBSP akan mengeluarkan lesen memungut bahan yang boleh dikitar semula mulai tahun 2022, sebagai usaha meningkatkan akitivi sokongan kepada aktiviti pengasingan dipunca dan seterusnya mengurangkan penghasilan sampah domastik.

“Pengurusan sampah dan pembersihan awam menelan belanja yang tinggi yang harus dipikul oleh MBSP jadi dengan pengurangan sisa organik di punca akan mengurangkan kos pengendalian sisa makanan oleh penjana sisa dan mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan,” kata Rozali. – MalaysiaGazette