Antara individu yang di tahan ketika serbuan OP Jihad Dadah yang di jalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 5 NOVEMBER 2021

PETALING JAYA – Seramai 45 warganegara tempatan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah ditangkap dalam Op Jihad Dadah yang dijalankan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam.

Daripada jumlah keseluruhan tangkapan itu, seramai 43 lelaki dan selebihnya wanita.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhruddin Abdul Hamid, sembilan orang lelaki dan dua wanita ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, sembilan orang di bawah Seksyen 15(1)(1) akta yang sama manakala bakinya di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Pihaknya turut merampas pelbagi jenis dadah dalam serbuan itu iaitu  dadah jenis heroin (1.70 gram), syabu (1.20 gram) dan pil yaba (2.275 gram).

Sementara itu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang turut menyertai operasi itu menahan 22 warganegara tempatan berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun.

Daripada jumlah itu, seramai 19 lelaki dan tiga wanita ditangkap di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 kerana ujian saringan air kencing adalah positif dadah.

Op Jihad Dadah merupakan inisiatif IPD Jaya julung kalinya untuk menangani masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini. -MalaysiaGazette