TNB telah mengambil langkah meninggikan tapak pencawang elektrik bagi mengurangkan risiko pencawang ditenggelami dan dirosakkan banjir.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membuat persiapan awal  pengurusan banjir menjelang musim tengkujuh.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, persiapan awal bertujuan menyediakan bekalan elektrik  selamat serta meminimumkan kerosakan pepasangan TNB di kawasan terjejas.

“TNB telah pun mengadakan mesyuarat koordinasi banjir bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah, menjalankan sesi latihan menghadapi banjir dan memastikan anggota kerja teknikal kami berada dalam keadaan siap siaga,” katanya menerusi kenyataan.

Pada masa sama TNB akan membuka bilik gerakan di negeri yang terbabit banjir untuk memantau keadaan serta menyalurkan maklumat terkini tentang bekalan elektrik.

Selain itu, set-set janakuasa bergerak serta janakuasa mudah alih dan perkakas kritikal semasa operasi banjir seperti bot, telefon satelit dan lampu limpah telah ditempatkan di beberapa lokasi strategik untuk siap sedia digunakan ketika musim tengkujuh.

Wan Nazmy berkata, proses penyambungan pencawang yang rosak hanya akan dilakukan selepas keadaan selamat.

“Sejak banjir besar pada 2014, TNB telah mengambil langkah meninggikan tapak pencawang dan membina penghadang banjir di pintu masuk pencawang bagi mengurangkan risiko pencawang ditenggelami dan dirosakkan banjir.

“Namun, jika ada pencawang elektrik yang masih ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat selepas keadaan selamat,” jelasnya.

Beliau berkata, pengguna TNB yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi 15454 atau Facebook TNB Careline.

“Pasukan Bertindak Kecemasan TNB yang bertugas 24 jam sehari juga akan digerakkan untuk membuat penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus akibat pokok tumbang dan sebab lain dengan kadar segera,” kata Wan Nazmy lagi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air, menjauhi dari menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap bagi mengelakkan renjatan elektrik.-MalaysiaGazette