Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama calon-calon Perikatan Nasional pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional dan Penyerahan Watikah Calon sempena Pilihan Raya Negeri Melaka di Ballroom Glenmarie Hotel & Golf Resort, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 NOVEMBER 2021.

SUBANG – Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat pengumuman itu berkata, calon-calon yang bertanding pada pilihan raya itu terdiri daripada calon parti gabungan daripada Parti Gerakan, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, pembahagian kerusi dan senarai calon yang akan bertanding dibuat setelah mencapai kata sepakat dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang diadakan semalam.

Sebanyak 15 calon yang bertandimg adalah dari parti Bersatu, Pas (8) dan Gerakan (5).

“Perikatan Nasional telah melakukan persiapan-persiapan untuk menghadapi pilihan raya ini termasuklah menyelesaikan perundingan kerusi dengan parti-parti komponen dan mengenalpasti calon-calon yang berkelayakan untuk bertanding.

“Alhamdulillah, parti-parti komponen Perikatan Nasional yang akan mengambil bahagian dalam Pilihanraya Negeri Melaka iaitu Bersatu, Pas dan Gearakan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang diadakan semalam telah mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi dan senarai calon yang akan bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap mengumumkan senarai calon mewakili PN pada PRN Melaka, hari ini.

Dalam uacapannya, Muhyiddin berkata, adalah menjadi tanggungjawab PN sebagai sebuah parti politik yang berdaftar untuk menyertai pilihan raya di negara ini yang diadakan menurut lunas undang-undang dan amalan demokrasi yang matang.

Katanya, tujuan PN mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri Melaka adalah untuk menawarkan kepimpinan dan khidmat bakti kepada seluruh rakyat negeri Melaka tanpa mengira kaum dan agama.

Ini selaras dengan asas penubuhan PN sebagai sebuah gabungan parti-parti politik Bumiputera dan pelbagai kaum yang melambangkan perpaduan semua golongan rakyat di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak, ujarnya.

“Saya yakin Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan parti politik yang mewakili masyarakat Bumiputera dan pelbagai kaum di negara ini berpotensi untuk membentuk budaya dan amalan politik baharu yang lebih bersih, stabil, harmoni dan sejahtera untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan, PN tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat, tetapi mempunyai komitmen yang tinggi apabila diberikan mandat untuk melakukan yang terbaik.

Jelasnya, rekod kerajaan PN mentadbir negara boleh dijadikan rujukan utama oleh pengundi negeri Melaka.

“Saya tidak berniat untuk mendabik dada, tetapi lihatlah kejayaan yang kita capai hari ini dalam pengurusan pandemik dan bantuan untuk rakyat hasil daripada usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

“Inilah buku rekod kita yang akan kita bentangkan kepada rakyat negeri Melaka sebagai panduan untuk mereka membuat pilihan yang terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.