Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) bersama Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak (kanan) hadir pada sidang media mengenai pengumuman calon BN sempena PRN Melaka di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 6 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi pembuka tirai kepada Pilihan Raya Umum ke-15 dan penentu hala tuju Malaysia.

Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat di negara ini telah melalui pelbagai cabaran sejak 2018 sehingga hari ini apabila berdepan dengan masalah ekonomi, ancaman kesihatan dan perubahan dasar kerajaan.

Cabaran itu merupakan satu perjalanan pahit yang jauh berbeza dengan sebelum tahun 2018.

Semua cabaran yang berlaku itu membawa kesan besar kepada kehidupan rakyat, lebih-lebih lagi soal kebajikan, pendapatan dan pembangunan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) dengan rendah diri meminta rakyat membuat pilihan semula dan ianya bermula di Melaka.

”PRN Melaka menjadi pembuka tirai kepada PRU15 dan penentu halatuju Malaysia.

”Jika direstui rakyat, BN ingin bersama-sama mengembalikan Kestabilan Demi Kemakmuran.

”Ini soal tanahair kita. Ini soal masa depan kita,” katanya. – MalaysiaGazette