KUALA LUMPUR – Pertukaran Kereta Rasmi Jawatan (KRJ) kepada menteri daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L dibuat kerana kos sewaan lebih rendah.
Menerusi jadual sewaan yang disertakan dalam kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini, kadar sewaan Toyota Vellfire 2.5 adalah RM4,851.61 berbanding Proton Perdana 2.4 Premium sebanyak RM4,854.41 sebulan.
Ia melibatkan perbezaan sebanyak RM2.80 sahaja.
Menurut MOF, cadangan penggantian kereta Proton Perdana kepada kenderaan lain seperti Vellfire sebenarnya telah dipertimbangkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan pada tahun ini.
“Untuk makluman, usia KRJ bagi jemaah menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah usia enam tahun sedangkan penggantian KRJ bagi jemaah menteri sebenarnya dijadualkan setiap empat tahun sekali,” kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette